‘Jammed’ Sepanjang Lebuhraya Karak Hingga Ke Bentong, RnR Dibanjiri Perantau Balik Raya

ALIRAN trafik di Lebuh Raya Kuala Lumpur Karak (KLK) menghala ke Pantai Timur dilaporkan sesak dan perlahan sebelum Plaza Tol Gombak sehingga Plaza Tol Bentong ketika ini.

Menerusi perkongsian Lebuh Raya Pantai Timur (LPT) di laman Facebooknya, trafik dilaporkan sesak sepanjang 7.3 kilometer (km) dari KM20.3 hingga KM27.6 di sekitar kawasan Gombak.

Turut dilaporkan sesak dari KM29.2 hingga KM37.1 iaitu sekitar Gombak menghala ke Genting Sempah iaitu sepanjang 7.9 km.

“Trafik turut sesak dan perlahan bermula dari KM 42.6 sehingga KM 44. 5, KM 47 sehingga KM50.5 dan KM 56.5 sehingga KM 58.9 iaitu dari Bukit Tinggi menghala ke Lentang.

“Keadaan ini berlaku kerana pertambahan kenderaan menghala ke Pantai Timur,”ujarnya.

Bagaimanapun kata LPT, trafik di Lebuh Raya Pantai Timur 1 (LPT1) masih lagi lancar di kedua-dua arah.

Sementara itu, menerusi perkongsian di laman Facebook Lembaga Lebuh Raya Malaysia (LLM), beberapa laluan menghala ke Utara juga sesak dan perlahan ketika ini.

Antara kawasan sesak termasuklah dari Juru Auto City ke Kawasan Perusahaan Perai, Bukit Tambun ke Plaza Tol Juru dan Padang Rengas ke hentian rawat dan rehat (R&R) Bukit Gantang.

Turut dilaporkan sesak dari Terowong Menora ke R&R Sungai Perak, Ipoh ke Jelapang, Gopeng ke Simpang Pulai dan Tapah ke Gopeng.

Sumber gambar – Utusan Malaysia | Sumber laporan – Harian Metro