Bengang Kulit Album Dihina, Siti Dedahkan Individu Terlibat Dan ‘Tag’ Akaun IG Rasmi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia

Foto : Instagram

Bengang dengan kecaman dua orang individu yang didakwa mempersendakan kulit album terbaharu berjudul Sitism, penyanyi tersohor, Datuk Seri Siti Nurhaliza bertindak mendedahkan nama akaun dua individu itu dalam Instagram Story (IGs) miliknya beberapa jam lalu.

Menerusi hantaran yang sama, Siti turut ‘tag’ akaun IG rasmi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) untuk membuat siasatan bagi memberi pengajaran kepada pemilik dua akaun berkenaan.

“Cantiknya bahasa puan ini @kakwanlebor @bonda_putehkundor

“Kita bagi @skmm_mcmc check kejap,” tulis Siti.

Berdasarkan perkongsian penyanyi Aku Bidadari Syurgamu itu, dia menyertakan komen negatif yang dilemparkan dua pelayar akaun berkenaan yang didakwa tidak senang dengan imej digayakan Siti seperti yang dipaparkannya dalam kulit album itu.

Menerusi ruangan komen sama, mereka memperlekehkan konsep futuristik yang diketengahkan Siti dan menyifatkannya sebagai tidak sesuai dengan kedudukan Siti sebagai penyanyi senior.

Bukan sahaja membuat kritikan secara terbuka, malah dua individu itu turut mengeluarkan komen berbaur penghinaan apabila mengatakan Siti seperti seorang yang mempunyai masalah mental apabila mengenakan ‘headgear’ sebegitu.

Sejak beberapa hari lalu, pemenang trofi Anugerah Seri Perak Anugerah Bintang Popular BH 2012 ini dilihat kerap memuat naik hantaran mengenai album baharu yang bakal menemui peminat pada 30 Jun ini.

Sumber : Berita Harian