Isu Pengunjung Lelaki Dipaksa Bertudung, Masjid Negara Mohon Maaf

Pihak pengurusan Masjid Negara tampil memohon maaf berhubung sebuah video yang tular di mana seorang lelaki dipaksa memakai tudung oleh seorang pengawal keselamatan wanita.

Masjid Negara bersama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dalam satu kenyataan berkata, pengawal keselamatan terbabit telah diberi teguran agar lebih peka ketika menjalankan tugas.

“Pihak pengurusan Masjid Negara mengambil serius perkara ini dan dengan rendah hati memohon maaf di atas kekhilafan serta kekeliruan kepada individu terlibat serta orang awam yang turut terkesan berkaitan video terbabit.

“Untuk makluman, pengawal keselamatan adalah lantikan pihak ketiga melalui perolehan kerajaan. Masjid Negara juga akan memastikan perkara seperti ini tidak berulang pada masa akan datang bagi menjamin reputasi dan imej institusi masjid kekal terpelihara

“Para pengunjung boleh mengemukakan aduan terhadap mana-mana tindakan pengawal keselamatan melalui kod imbas bersama-sama butiran di meja pos masing-masing bagi membolehkan tindakan sewajarnya diambil,” katanya pada Ahad.

Sebelum ini tular di media sosial memaparkan seorang pengunjung lelaki berambut panjang kelihatan bingung apabila disuruh memakai jubah dan menutup kepala ketika memasuki Masjid Negara.

 

Walaupun setelah dijelaskan yang dirinya bukan seorang perempuan, namun pengawal tersebut tetap bertegas dan meminta dirinya untuk menutup aurat.