Ingatkan mabuk, rupanya main phone!

SETIAP kali penguatkuasaan sekatan jalan raya (SJR) ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pasti akan wujud beberapa insiden melibatkan kes rempuh sekatan pihak polis.

Ini yang berlaku di sekatan jalan raya di Jalan Klang Lama, Kuala Lumpur apabila seorang individu merempuh sekatan tersebut sehingga menyebabkan kerosakan pada jam 5.30 petang semalam.

Menurut Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Anuar Omar, kejadian berpunca disebabkan suspek yang cuai ketika menggunakan telefon bimbit sehingga berlaku rempuhan.

Kerosakan yang berlaku.

“Suspek berusia 40 tahun mengaku cuai sewaktu memandu menggunakan telefon bimbit selain memberi alasan keluar rumah membeli barangan.

“Suspek bagaimanapun tidak mempunyai sebarang rekod jenayah dan hasil ujian air kencing juga negatif dadah,” katanya pada satu kenyataan pagi ini.

Mengulas lanjut, Anuar mengingatkan orang ramai agar sentiasa berhati-hati ketika pemanduan khususnya di kawasan sekatan jalan raya.

Dalam masa yang sama, orang ramai diingatkan agar mematuhi prosedur operasi standard (SOP) sewaktu pelaksanaan PKP yang telah dikuatkuasakan kerajaan.