Imigresen serbu penempatan PATI jadi lubuk pelacuran

SERBUAN sebuah bangunan yang menjadi penempatan warga asing di Pudu, Kuala Lumpur telah membawa kepada tangkapan seramai 72 pati melibatkan operasi bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Imigresen Malaysia pada 3 Julai.

Ketua Pengarah Jabatan Imigresen, Datuk Khairul Dzaimee Daud berkata, serbuan mendapati, penempatan bukan sahaja tidak mematuhi SOP malah keadaan sekeliling turut dalam keadaan kotor dan tidak teratur.

“Kita telah menahan seramai 72 warga asing pelbagai warganegara yang berusia antara 25 hingga 50 tahun.

“Kesemua mereka terdiri daripada 43 individu lelaki dan 29 wanita,” katanya pada satu kenyataan hari ini.

Penempatan berkenaan juga dijadikan sarang pelacuran melibatkan Wanita warga asing

Ketika serbuan, ada cubaan untuk melarikan diri menerusi laluan yang telah diubah suai namun usaha itu berjaya digagalkan pihak berkuasa.

Malah ada juga yang enggan memberikan kerjasama memaksa anggota memecahkan pintu bilik dan mendapati mereka hanya menyorok di dalam bilik serta mematikan lampu.

Menurut Khairul Dzaimee, penempatan berkenaan juga dijadikan sarang pelacuran melibatkan Wanita warga asing yang sebelum ini juga telah diserbu pihak imigresen.

“Antara kesalahan Imigresen yang dikenalpasti ialah tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah, menyalahgunakan Pas dan tinggal lebih masa.

“Kesemua tahanan akan dibawa menjalani ujian saringan Covid-19 sebelum ditempatkan di Depot Imigresen Bukit Jalil, Kuala Lumpur untuk siasatan di atas pelbagai kesalahan mengikut Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963,” katanya lagi.