Ibu Meraung, Anak Maut Terlibat Kemalangan Menjelang Aidilfitri

Seorang remaja lelaki maut selepas motosikal yang ditunggang bertembung dengan sebuah kereta dalam kejadian di Jalan Tanjung Minyak, Bukit Rambai awal pagi tadi.

Mangsa, Muhammad Amin Fakhrullah Mohd. Faiez, 19, meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di bahagian kepala.

Satu video di tempat kejadian menjadi tular di media sosial memaparkan seorang wanita dipercayai ibu mangsa yang tidak dapat mengawal perasaan selepas melihat jasad anaknya di lokasi kejadian.

 

Memetik laporan Kosmo!, Ketua Polis Daerah Melaka Tengah Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, ketika kejadian mangsa yang menunggang motosikal jenis Yamaha Y15 dalam perjalanan pulang ke rumahnya dari arah Bukit Rambai ke Tanjung Minyak.

“Setiba di lokasi, sebuah kereta jenis Honda City dipandu seorang pelajar universiti berusia 22 tahun dipercayai telah memasuki laluan bertentangan lalu bertembung dengan mangsa.

“Akibat rempuhan itu, mangsa mengalami kecederaan parah di kepala dan disahkan meninggal dunia di lokasi oleh pegawai perubatan,” katanya kepada pemberita, hari ini.

Pihak polis telah mengambil sampel darah pemandu untuk ujian toksikologi dan siasatan masih dijalankan.

“Mayat telah dihantar ke Unit Forensik Hospital Melaka untuk proses bedah siasat dan siasatan masih diteruskan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.