Gara-gara Minum Air Rakan Ketika Berbuka, Seorang Pekerja Kilang Ditikam

Disebabkan berang dengan tindakan rakan sekerja yang meminum air oren ketika berbuka puasa, seorang lelaki warga Bangladesh bertindak menikam rakannya hingga maut di sebuah asrama pekerja kilang di Seksyen 36, Shah Alam, Selangor.

Menurut Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim, pihaknya menerima laporan jam 7.20 malam, pada Selasa.

“Hasil siasatan mendapati mangsa berusia 49 tahun dan bekerja sebagai pekerja am manakala suspek merupakan warga Pakistan yang juga bekerja dan tinggal bersama mangsa di dalam kontena yang dijadikan asrama.

“Kejadian berpunca apabila suspek marah apabila mangsa meminum air orennya semasa berbuka puasa.

“Suspek bertindak menikam mangsa beberapa kali dengan menggunakan sebilah pisau yang diambil daripada dapur,” katanya dalam satu kenyataan, pada Rabu.

Suspek berusia 51 tahun berjaya ditangkap dan akan direman pada Rabu jam 9 pagi di Mahkamah Shah Alam. Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.