PERSONALITI TV dan pengacara terkenal Fedtri Yahya, cedera selepas terlibat dalam satu kemalangan jalan raya.
Melalui perkongsian isterinya iaitu Nurul Anati Ismail di laman sosial, Fedtri atau nama sebenarnya Ahmad Fedtri Yahya, 35, dikatakan mengalami banyak kecederaan di bahagian muka.
“Assalamualaikum. Suami saya, Ahmad Fedtri Yahya, terlibat dalam kemalangan dan selesai menjalani pembedahan malam tadi.
“Banyak kecederaan di muka. Semuanya sudah di jahit sempurna.
“Alhamdulillah. Doakan yang terbaik untuk kesembuhannya,” tulis Nurul.
Sementara itu, wakil majikannya menjelaskan Fedtri mengalami kemalangan melibatkan basikal yang berlaku di tempat letak kereta Sri Pentas selepas selesai tugasan siaran langsung program Malaysia Hari Ini pada pagi Rabu.
Fedtri yang juga penulis lirik terkenal, mengalami kecederaan di bibir dan kening namun telah selamat menjalani prosedur rawatan di sebuah pusat perubatan di Petaling Jaya.