Duit dalam akaun lesap hampir 20k ditipu ‘scammer’

Seorang wanita berusia 23 tahun ditipu dan diperdaya selepas menerima panggilan daripada ‘polis’ China hingga menyebabkan wang di dalam akuan lesap hampir RM 20,000 di Kuantan.

Kejadian yang berlaku semalam, mangsa kononnya didakwa terlibat dengan pengubahan wang haram hingga menyerahkan maklumat perbankan internet bagi tujuan siasatan dan mengelak dikenakan tindakan.

Menurut Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial negeri, Mohd Wazir Mohd Yusof berkata, mangsa berputih mata apabila wang simpanan dalam akaun bank lesap dipindahkan suspek.

Tambah beliau, kehilangan wang dalam akaun bank disedari mangsa selepas dia membuat semakan dan mendapati wang berjumlah RM19,998 dipindahkan ke akaun bank milik individu tempatan yang tidak dikenali.

“Kejadian tersebut bermula selepas dia menerima panggilan daripada polis China pagi semalam ketika berada di tempat kerja.

“Individu berkenaan (pemanggil) jelas meragukan kerana memperkenalkan diri sebagai polis China sedangkan panggilan dibuat di negara ini berdasarkan nombor telefon digunakan,” katanya dipetik Sinar Harian.

Bagaimanapun, Mohd Wazir turut berkata bahawa suspek berjaya memperdayakan mangsa sehingga wanita itu menyerahkan nama pengguna, kata laluan dan nombor kod pengesahan transaksi (TAC) perbankan internet seperti diarahkan.

“Selepas menyedari ditipu, mangsa tampil membuat laporan polis dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

“Polis sedang mengesan seorang lelaki tempatan yang juga pemilik akaun bank yang digunakan dalam kes itu bagi membantu siasatan,” katanya.