PERCUTIAN 30 sahabat ke Pulau Redang, Terengganu, berakhir tragedi selepas dua daripada mereka maut dalam kemalangan di Kilometer 375.4 Lebuh Raya Pantai Timur 2 (LPT2), selepas Hentian Rawat dan Rehat (R&R) Bukit Besi dekat sini, pagi tadi.
Dalam kejadian 5.20 pagi, mangsa maut, Tan Poh Hwa, 42, dan Choo Chia Tan, 44, masing-masing beralamat dari Taman Indah, Tampin, Negeri Sembilan.
Tan disahkan maut di tempat kejadian, sementara Choo disahkan meninggal ketika diberi rawatan kecemasan di Hospital Dungun, jam 9.15 pagi.
Ketua Cawangan Pusat Gerakan Operasi Bomba negeri Terengganu, Baharum Muhamad Hasim berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan jam 5.20 pagi berhubung kemalangan itu.
Menurutnya, 16 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bandar Al-Muktaffi Billah Shah dan Kuala Berang bergegas ke lokasi.
“Sebaik anggota kami sampai di tempat kejadian, didapati seorang mangsa maut selepas tercampak keluar dari bas terbabit.
“Seorang lelaki dipercayai suami mangsa tersepit di tempat duduk dan kami mengambil masa selama 10 minit untuk mengeluarkan mangsa,” katanya.
Katanya, mangsa yang parah dan cedera dikejarkan ke Hospital Dungun dan Hulu Terengganu untuk rawatan lanjut.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Dungun Superintendan Baharudin Abdullah berkata, bas persiaran terbabit dalam perjalanan dari Tampin Negeri Sembilan ke Kuala Terengganu.
Menurutnya, setibanya di tempat kejadian, bas dipercayai terbabas dan merempuh pembahagi lebuh raya sebelum terbalik ke laluan bertentangan.
“Kesemua mangsa dikatakan dalam perjalanan untuk bercuti di Pulau Redang.
“Pemandu bas persiaran terbabit yang berusia 26 tahun, parah, dan dihantar ke Hospital Hulu Terengganu untuk rawatan lanjut,” katanya
Baharudin berkata, maklumat mangsa cedera dan parah masih belum diperolehi.
“Kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.
Sumber gambar & Sumber laporan – Harian Metro