Suhu Dunia Diramal Akan Meningkat Panas Sehingga 2027 – WMO

SUHU dunia berkemungkinan besar melepasi had yang ditetapkan dalam tempoh lima tahun dari sekarang, demikian menurut Pertubuhan Meteorologi Sedunia (WM0).

Saluran berita CNN melaporkan, perkara itu berlaku disebabkan kombinasi pencemaran yang memerangkap haba dan feno­mena cuaca El Nino.

Suhu dunia meningkat sejak beberapa tahun kebelakangan ini apabila manusia terus membakar bahan api fosil yang memanaskan Bumi seperti arang batu, minyak dan gas dengan tiada tanda-tanda ia akan diperlahankan.

Dalam kemas kini iklim tahunannya, WMO yang berpangkalan di Geneva berkata, antara tahun 2023 hingga 2027 wujud 66 peratus kemungkinan suhu Bumi meningkat lebih daripada 1.5 darjah Celsius selama sekurang-kurangnya satu tahun.

Ketika suhu terus meningkat, terdapat 98 peratus kemungkinan bahawa sekurang-kurangnya setahun daripada tempoh lima tahun dari sekarang dan keseluruhan tempoh lima tahun tersebut akan merekodkan suhu pa­ling panas, kata WMO.

“Pelanggaran had siling suhu 1.5 darjah Celcius ini mungkin hanya untuk sementara,” ujar­nya.

Namun, ia isyarat paling jelas betapa cepatnya perubahan iklim berlaku yang akan mempercepatkan pula kenaikan paras air laut, cuaca lebih ekstrem dan kemusnahan ekosistem yang menjadi nadi kehidupan.

Sebelum ini, negara-negara dunia berikrar dalam Perjanjian Iklim Paris untuk mengehadkan pemanasan global kepada jauh di bawah angka 2 darjah Celcius dan sebaik-baiknya, 1.5 darjah Celsius lebih rendah berbanding suhu pada era sebelum industri.

Saintis-saintis menganggap ­angka 1.5 darjah Celcius sebagai titik perubahan utama dan sekiranya suhu meningkat melebihi paras itu, bencana banjir melampau, kemarau, kebakaran hutan dan kekurangan makanan akan meningkat secara mendadak.

“Laporan ini tidak bermakna suhu dunia akan meningkat melebihi 1.5 darjah Celcius secara kekal seperti dinyatakan dalam Perjanjian Paris yang merujuk kepada pemanasan global jangka panjang.

“Namun, WMO membunyikan penggera paras siling 1.5 darjah Celcius untuk sementara waktu, manakala kekerapan ia berlaku juga akan semakin meningkat,” kata Setiausaha Agung WMO, Profesor Petteri Taalas dalam satu kenyataan.

Perkara itu, kata beliau, didorong oleh peningkatan pencemaran akibat pembakaran bahan api fosil dan ramalan ketibaan El Nino iaitu fenomena iklim semula jadi dengan kesan pemanasan global.

“El Nino dijangka berlaku dalam masa beberapa bulan lagi. Ini dan faktor pembakaran bahan api fosil oleh manusia akan mendorong suhu dunia meningkat pada tahap yang belum pernah dilihat sebelum ini.

“Ia akan memberi kesan meluas terhadap aspek kesihatan, keselamatan makanan dan pe­ngurusan air serta alam sekitar. “Kita perlu bersedia untuk menghadapinya,” kata Taalas.

Tahun paling panas setakat ini ialah pada 2016, juga disebabkan oleh fenomena El Nino yang sangat kuat. Malah pada tahun ini sekali pun, banyak rekod suhu di seluruh dunia telah dipecahkan.

Contohnya, pada Mac lalu, terdapat wilayah di Argentina yang mencatat suhu sehingga 10 darjah Celcius melebihi bacaan biasa, manakala sebahagian besar Benua Asia merekodkan suhu panas tertinggi baharu pada April lepas.

Pada bulan ini pula, situasi serupa berlaku di kawasan barat laut Pasifik dan Amerika Syarikat (AS).

Menurut Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan (NASA), siling pemanasan 1.5 darjah Celcius akan dapat melindungi kira-kira 420 juta orang daripada terdedah kepada gelombang haba melampau

Walaupun fenomena cuaca La Nina membawa iklim lebih sejuk tiga tahun lalu, suhu dunia telah melonjak ke tahap berbahaya dan tempoh lapan tahun sebelum ini merupakan yang paling panas dalam sejarah. 

Sumber gambar – Berita Harian| Sumber laporan – Kosmo Digital