Dituduh ciplak tajuk lagu All I Want For Christmas Is You, Mariah Carey disaman RM87 juta

Dituduh ciplak tajuk lagu All I Want For Christmas Is You, Mariah Carey disaman RM87 juta

PENYANYI popular Amerika Syarikat, Mariah Carey disaman atas tuduhan pelanggaran hak cipta lagu hit Krismas, All I Want for Christmas is You.

Penulis lagu yang dikenali sebagai Andy Stone berkata, dia menulis bersama sebuah lagu dengan tajuk yang sama lima tahun sebelum ia dilancarkan oleh Carey pada tahun 1994.

Stone mendakwa penyanyi itu menggunakan popularitinya untuk menciplak lagu milik lelaki itu.

Bagaimanapun, kedua-dua lagu memiliki susunan muzik berbeza meskipun ia berkongsi tajuk sama.

Versi asal All I Want for Christmas nyanyian Carey yang dilancarkan pada 1994

Stone bertegas tindakan saman dengan mengatakan lagu Carey telah menyebabkan kekeliruan peminat hingga lagunya tidak mendapat perhatian selain penyanyi itu tidak meminta kebenaran menggunakan tajuk sama.

Lagu nyanyian Carey atau lebih mesra Mimi oleh peminatnya, All I Want for Christmas is You adalah lagu ikonik bagi perayaan hujung tahun itu dan merupakan rekod carta lagu Krismas setiap perayaan itu tiba setiap Disember.

Sejak muncul dalam album Merry Christmas pada 1994, ia telah mengungguli carta di beberapa negara.

Malah menjelang 2017, lagu itu telah memberikan lebih AS$60 juta (RM263 juta) royalti kepada Carey.

All I Want for Christmas Is You nyanyian Vince Vance & The Valiants

Lagu itu juga telah distrim sebanyak satu bilion kali di platform Spotify.

Stone yang menggunakan nama pentas Vince Vance dengan kumpulan Vince Vance and the Valiants, menuntut sekurang-kurangnya AS$20 juta (RM87.8 juta) sebagai ganti rugi.

All I Want for Christmas is You versi 2019

Lagu All I Want for Christmas is You nyanyian kumpulan Vince Vance and the Valiants hanya mendapat 2.1 juta kali tontonan di Youtube setakat ini.

Manakala All I Want for Christmas is You nyanyian Carey mendapat lebih 726 juta kali tontonan di Youtube.

Versi terbaharu yang dilancarkan pada 2019 pula mendapat kira-kira 272 juta kali tontonan.

Sumber: Kosmo