Datang beli barang, rantai pulak kena rembat

SEORANG mangsa wanita berusia 22 tahun terpaksa bergelut bersama seorang suspek yang meragutnya di sebuah kedai runcit di Kg Rinching, Bangi Lama hari ini.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Mohd Zaid Hassan berkata, polis menerima laporan pada jam 2 petang tadi.

“Suspek berjaya merentap seutas rantai tangan milik mangsa sebelum melarikan diri menaiki sebuah motosikal.

“Mangsa bagaimanapun tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mangsa yang merupakan seorang suri rumah disamun ketika sedang membeli barangan runcit di kedai berkenaan.
Setakat ini, siasatan masih dijalankan pihak polis dalam usaha memburu suspek berkenaan.

Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat diminta tampil membantu siasatan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan yang boleh membawa hukuman penjara sehingga 14 tahun, denda serta sebatan.