Demo kenal bare sobat! – Lelaki ini catat jualan RM1.26 bilion dalam masa 12 jam melalui jualan ‘live’

SEORANG lelaki di China yang dIgelar ‘King of Live Streaming’ mampu membuat jualan sehingga AS$305.7 juta (RM1.26 bilion) dalam masa 12 jam dengan menjual pelbagai produk di laman penstriman Kuaishou.

Menurut laporan Oddity Central kelmarin, Xin Youzhi atau dikenali sebagai Xinba menghabiskan sehingga 12 jam mempromosikan pelbagai produk termasuk syampu dan telefon bimbit kepada lebih 40 juta penonton.

Di penghujung siaran, Xinba mencatat jualan berjumlah RM1.26 bilion yang menewaskan jumlah keseluruhan jualan gedung beli belah Times Square di Causeway Bay, Hong Kong yang mencatat jualan yang lebih rendah bagi sepanjang 2020, lapor Kosmo.

Xin Youzhi berjaya kumpul lebih 40 juta penonton.

Jualan dalam talian secara langsung yang sudah terkenal di China menjadi semakin laris akibat perintah berkurung berikutan penularan Covid-19.

Ketika sesi penjualan dalam talian, Xinba tidak hanya fokus kepada satu produk tetapi mempelbagaikan produk yang boleh menarik minat pembeli yang sedang menonton penstriman langsung yang dibuatnya.

Selain menggunakan taktik pemasaran yang berkesan, Xinba menarik perhatian pembelinya dengan sentimen peribadi dan sering mengingatkan penonton bahawa dia juga anak petani, iaitu golongan yang paling ramai menyaksikan siaran langsungnya. 

Sumber: Kosmo