COVID-19: Kit ujian antibodi tidak boleh digunakan

PUTRAJAYA: Kementerian Kesihatan memutuskan kit ujian antibodi melalui pengambilan sampel darah tidak boleh digunakan untuk melakukan diagnosis COVID-19.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, berkata jika kit ujian saringan itu memerlukan sampel darah, besar kemungkinan ia menggunakan kaedah serologi bagi mengukur respons antibodi.

“Jika antibodi Immunoglobulin M (IgM), respons mungkin mengambil masa antara lima hingga tujuh hari dan jika Immunoglobulin G (IgG), mungkin selepas tujuh hari (respons) diperoleh, bergantung kepada individu.

“Bagaimanapun, kita sudah putuskan kit ujian antibodi tidak boleh digunakan untuk diagnosis,” katanya pada sidang media harian COVID-19 di sini, hari ini.

Beliau diminta mengulas mengenai sejenis kit ujian COVID-19 yang didakwa boleh mengesan penyakit itu dengan ketepatan 99 peratus melalui pengambilan sampel darah yang tular media sosial

Ketika ini, Kementerian Kesihatan melakukan ujian saringan COVID-19 melalui ujian swab iaitu pengambilan sampel air liur dari mulut.

Sementara itu, Dr Noor Hisham berkata, plasma bekas pesakit COVID-19 mungkin digunakan untuk merawat pesakit yang dijangkiti virus berkenaan.

Setakat ini, katanya, beberapa pesakit yang sudah sembuh tampil secara sukarela bagi membolehkan kajian dibuat ke atas mereka.

“Mereka mendermakan darah dan sebelum itu, kita akan membuat saringan bagi melihat jangkitan kuman.

“Jika mereka sihat, kita akan laksanakan ujian semula. Jika ujian negatif, kita akan ambil darahnya. Kita akan asingkan darah merah dan plasma, dan plasma itu akan dihantar ke Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) bagi melihat kepekatan antibodi.

“Dua minggu selepas itu, kita akan ambil darah (bekas pesakit) lagi untuk diambil plasmanya, dan plasma ini akan dikaji. Jika kepekatan antibodi bekas pesakit itu tinggi, besar kemungkinan kita akan menggunakan plasma bekas pesakit itu untuk merawat pesakit lain,” katanya.

– Berita Harian

– BHonline