COVID-19: Hulu Langat penyumbang tertinggi kes di Selangor

PUTRAJAYA: Daerah Hulu Langat menyumbang jumlah tertinggi daripada keseluruhan kira-kira 600 kes gelombang kedua jangkitan COVID-19 di Selangor.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, berkata faktor utama jangkitan di daerah itu disebabkan kewujudan sekolah dan madrasah agama tahfiz di kawasan itu.

Beliau berkata, ada antara individu yang didapati positif di daerah itu, dikesan menghadiri perhimpunan tabligh di Masjid Jamek Seri Petaling, bulan lalu.

“Untuk hari ini, jumlah positif COVID-19 di Hulu Langat meningkat 13 kes berbanding 287 sehingga semalam, menjadikan keseluruhannya 300 kes.

“Kampung Sungai Lui sahaja mencatatkan 210 kes iaitu 25 daripadanya berkaitan kluster Seri Petaling,” katanya pada sidang media harian COVID-19 hari ini.

Beliau berkata, sehingga jam 12 tengah hari tadi, Kementerian Kesihatan merekodkan 63 kes baharu di Selangor dengan jumlah kumulatif 863 kes positif, tertinggi di seluruh Malaysia.

Dr Noor Hisham berkata, pihaknya memang menjangkakan peningkatan kes positif dicatatkan di kawasan yang kini dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).

Katanya, ini kerana selepas pelaksanaan PKPD, pihaknya dapat melakukan saringan secara menyeluruh terhadap semua penduduk di kawasan yang dikenakan sekatan.

“Peningkatan ini dijangkakan kerana pengesanan kes aktif di tiga kawasan dikenakan PKPD ini.

“Kita turun padang di mana yang kita syaki ahli tabligh, tak ada simptom pun kita uji semua,” katanya.

– Berita Harian