Caprice Mohon Maaf Kepada SM Faisal, Akan Muat Naik Permohonan Maaf Menerusi IG Dalam Masa 48 Jam

Foto : Berita Harian

KUALA LUMPUR: Kes saman fitnah ahli perniagaan terkenal, Datuk SM Faisal SM Nasimuddin Kamal terhadap penyanyi rap, Caprice, diselesaikan secara baik di luar mahkamah, hari ini.

Saman fitnah itu berhubung hantaran berbaur fitnah yang didakwa dilakukan selebriti berkenaan menerusi laman Instagramnya mengenai kes bekas isteri SM Faisal, Emilia Hanafi.

Perkembangan baharu itu dimaklumkan peguam, Datuk Akberdin Abdul Kader, mewakili SM Faisal selepas Caprice atau nama sebenarnya, Ariz Ramli, 36, meminta maaf kepada anak guam dalam kamar di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen, Azian Othman, hari ini.

Akberdin ketika ditemui media berkata, Caprice juga perlu memohon maaf dalam tempoh 48 jam menerusi Instagramnya.

“Terma lain dalam penyelesaikan kes termasuk jumlah kos (perlu dibayar oleh Caprice kepada anak guam) adalah sulit,” katanya.

SM Faisal pula menzahirkan rasa syukur kes diselesaikan secara baik.

SM Faisal, 43, selaku plaintif memfailkan saman itu di Mahkamah Sesyen di sini menerusi Tetuan Akberdin & Co, pada 15 Ogos tahun lalu dengan menamakan Caprice sebagai defendan.

Sumber : Berita Harian