Tipu Pelan Insuran Kesihatan Liga, Bekas Pemain NBA Dipenjara 10 Tahun

Foto : NBC Sports

NEW YORK – Bekas pemain NBA Terrence Williams dijatuhi hukuman penjara 10 tahun pada Khamis kerana mendalangi skim yang menipu pelan insurans kesihatan liga, kata pendakwa raya New York.

Williams, 36, mengaku bersalah pada Ogos tahun lalu kerana menipu lebih daripada AS$5 juta.

“Williams bukan melakukan penipuan, tetapi turut mencuri identiti orang lain dan mengugut seorang saksi untuk melakukan jenayahnya,” kata Peguam AS Damian Williams dalam satu kenyataan.

“Atas perbuatan jenayahnya itu, Williams kini berdepan hukuman penjara selama bertahun-tahun,” tambah peguam itu.

Terrence Williams yang bermain untuk New Jersey Nets dan Houston Rockets, adalah salah seorang daripada 18 bekas pemain NBA yang didakwa dalam plot penipuan pada Oktober 2021.

Pendakwa Raya Daerah Selatan New York berkata Williams bersubahat dengan orang lain untuk mengemukakan tuntutan penipuan pada pelan manfaat kesihatan dan kebajikan NBA untuk perkhidmatan perubatan dan pergigian yang tidak dijalankan.

Sebagai pertukaran, Williams menerima sogokan berjumlah sekurang-kurangnya AS$300,000.

Sebagai sebahagian daripada pengakuan bersalahnya, Williams bersetuju untuk membayar ganti rugi AS$2.5 juta kepada NBA.

Sementara itu, Glen “Big Baby” Davis, daripada pasukan Boston Celtics dan Tony Allen bekas pemain Memphis Grizzlies juga didakwa dalam skim serupa dari 2017 hingga 2021.

Pemain lain yang turut didakwa termasuk bekas pemain Los Angeles Lakers Shannon Brown, Sebastian Telfair, yang bermain untuk beberapa pasukan NBA termasuk Cleveland Cavaliers, dan bekas pemain Los Angeles Clippers Darius Miles. – AFP