Cadangan Cuti Sekolah Bersasar, Laksana PdPR Bagi Negeri-Negeri Alami Cuaca Panas Melampau

KESATUAN Kebangsaan Guru-Guru Dalam Perkhidmatan Pelajaran Malaysia (Kongres) mencadangkan lanjutan cuti persekolahan bersasar buat negeri yang benar-benar terkesan dengan cuaca panas melampau.

Presidennya Jasni Md Kechik berkata, pihaknya menyambut baik saranan untuk melaksana lanjutan cuti sekolah bagi mengelak lebih ramai kanak-kanak mengalami strok haba.

Menurutnya, bagi mengelak bilangan hari bersekolah tidak cukup tempoh 190 hari, pihak sekolah boleh melaksanakan sesi Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) seperti yang dilakukan sebelum ini, lapor Harian Metro.

“Guru dan pelajar sudah berpengalaman melaksanakan PdPR dan mereka boleh melaksana sesi itu dengan baik,” katanya kepada BH hari ini.

Dalam pada itu, sekiranya tiada lanjutan cuti persekolahan, Jasni berkata, pihak sekolah boleh melonggarkan sedikit syarat pemakaian baju sekolah untuk keselesaan pelajar.

“Elakkan pemakaian tali leher atau ‘vest’ dalam kalangan pelajar untuk keselesaan mereka. Selain itu guru juga perlu mengingatkan pelajar ini untuk sentiasa minum air dan mengamalkan amalan kesihatan yang perlu bagi mengelakkan serangan strok haba.

“Selain itu ibu bapa juga perlu memainkan peranan mereka dengan memantau tahap kesihatan anak anak serta bertindak dalam kadar segera sekiranya terdapat simptom strok haba pada anak masing-masing,” katanya.

Semalam, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dilapor berkata, Jemaah Menteri akan berbincang keperluan untuk melanjutkan cuti persekolahan.

Katanya, selain cadangan itu, kerajaan juga sudah mengkoordinasikan kerjasama dengan kerajaan negeri dan kementerian berkaitan bagi membantu rakyat menghadapi fenomena ini.

Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negara berkata, laporan mesyuarat berkaitan serangan strok haba sudah diserahkan kepadanya serta usaha penyelarasan antara kementerian dan jabatan yang terbabit sedang dijalankan.

Sebelum itu, negara dikejutkan dengan kematian kanak-kanak berusia 11 tahun di Kelantan yang disahkan akibat strok haba berdasarkan siasatan Kementerian Kesihatan.

Sementara seorang bayi 19 bulan di negeri itu pula disahkan meninggal dunia kerana severe dehydration with underlying sepsis dan bukan disebabkan strok haba.

Sumber gambar – JohorKini | Sumber laporan – Harian Metro