11 Batu Nisan Di Tanah Perkuburan ‘Hilang’

SEKURANG-kurangnya 11 batu nisan yang berada di pusara Tanah Perkuburan Islam Mukim Tebrau, Taman Istimewa, Pandan di Johor Bahru hilang akibat dicuri.

Penggali kubur kawasan tanah perkuburan, Muhammad Izzul Hafiq Ramlan, 29, berkata kejadian itu dipercayai berlaku sejak seminggu sebelum sambutan Hari Raya Aidilfitri, lapor Berita Harian.

Katanya, beliau menyedari kehilangan batu nisan itu selepas menerima aduan dari waris ketika melawat kubur saudara atau ibu bapa mereka pada Hari Raya Aidilfitri lalu.

“Kalau diikutkan batu nisan yang hilang terdiri daripada sembilan set batu nisan jenis batu sungai yang berharga RM450 sepasang. Manakala lagi tiga set ialah batu nisan biasa berwarna putih berharga RM350 yang diletakkan di pondok kubur juga hilang dicuri.


“Kebanyakan lokasi batu nisan yang hilang ini berdekatan tepi pagar. Di tanah perkuburan ini terdapat empat pintu iaitu dua pintu kecil di bahagian tepi dan dua pintu besar iaitu di bahagian depan dan belakang.

“Saya percaya yang buat ‘kerja’ mencuri batu nisan ini orang yang kurang sihat atau penagih, kerana kalau orang normal mereka tidak akan mencuri batu nisan ini,” katanya ketika ditemui Berita Harian di Tanah Perkuburan Islam Mukim Tebrau, Taman Istimewa di Johor Bahru.

Muhammad Izzul Hafiq berkata, kecurian batu nisan itu adalah yang kali pertama berlaku sepanjang tempoh enam tahun beliau menjadi penggali kubur di situ.

“Kalau diikutkan jenis batu nisan yang dicuri ini, iaitu batu sungai boleh dipotong nama sedia ada dan diukir nama baru. Malah permintaan batu kubur jenis batu sungai juga tinggi kerana mampu dibeli.

“Tanah kubur ini adalah tanah wakaf, segala operasi dan kerja pembersihan adalah sumbangan orang ramai dan kariah surau serta masjid berdekatan,” katanya.

Bercerita lanjut, Muhammad Izzul Hafiq berkata, sebelum ini ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), pihaknya mengunci tiga pagar dan hanya membuka pagar di belakang yang dekat dengan kediaman penduduk bagi memudahkan ziarah dan pemantauan pergerakan.

“Namun, selepas PKP orang ramai marah dan meminta semua pintu pagar dibuka, jadi kita ikut sahaja dan inilah kesannya,” katanya.

Sumber & Gambar : Berita Harian