Bekas Diplomat status Datuk dan anak ditahan, tanam ganja keliling rumah

Bekas Diplomat status Datuk dan anak ditahan, tanam ganja keliling rumah

SEORANG bekas Diplomat yang membawa gelaran Datuk ditahan selepas dipercayai mengusahakan ladang ganja di belakang rumahnya di Janda Baik, Pahang.

Lelaki berusia 78 itu ditahan selepas polis menemui 102 pokok ganja yang ditanam di sekeliling rumahnya.

Menurut Ketua Polis Pahang, Datuk Ramli Mohamed Yoosuf, pihaknya telah melakukan tangkapan terhadap individu tersebut pada jam 6 petang Sabtu lalu.

Hasil pemeriksaan polis juga mendapati, pokok ganja yang ditanam mencapai ketinggian sehingga dua meter di kawasan tanah yang berkeluasan setengah hektar.

“Ini mungkin rampasan yang terbesar di tanah air kita setakat ini yang melibatkan semaian, tanaman, pokok yang boleh diambil hasilnya, pengeringan, dijadikan minyak, dikeringkan untuk kegunaan menghisap dan sebagainya semuanya its a complete cycle dan insyaAllah dalam kajian kita nanti kita akan mengenalpasti kepada siapa bahan terlarang ini ganja ini diedarkan,” katanya pada Selasa.

Menurutnya lagi, siasatan awal mendapati ladang ganja tersebut telah diusahakan sejak tahun 2015 dengan benih semaian yang diambil daripada ganja mampat.

Selain itu, polis turut menahan anak kepada bekas diplomat itu yang berusia 53 tahun di Shah Alam, Selangor yang juga dipercayai mengusahakan tanaman sama.

Hasil ujian air kencing turut mendapati lelaki tersebut positif dadah.

Dua beranak terbabit direman seminggu dan disiasat mengikut Seksyen 39B, Seksyen 6B dan Seksyen 6, Akta Dadah Berbahaya 1952.