Bapa Lari Selepas Hamilkan Anak Kandung Berusia 16 Tahun

Seorang lelaki yang bekerja sebagai buruh tergamak merogol anak kandung sendiri berusia 16 tahun hingga hamil dan melahirkan anak.

Suspek berusia 38 tahun ditahan pasukan D9 Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Melaka dan Bahagian Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Alor Gajah kira-kira pukul 12 tengah hari di Alor Gajah dekat sini, semalam.

Perbuatan keji suspek terbongkar selepas pegawai perubatan yang merawat mangsa membuat laporan polis pada 11 Oktober 2023.

Menurut Ketua Polis Melaka, Datuk Zainol Samah, pengadu memaklumkan dia telah menerima pesakit perepuan bawah umur yang sedang hamil 19 minggu dipercayai akibat dirogol bapa kandung sendiri.

“Mengikut laporan dibuat, mangsa awalnya memberitahu dia mengalami sakit perut dan ibunya segera membawa anak kedua daripada tiga beradik itu ke Klinik Kesihatan Durian Tunggal.

“Pemeriksaan doktor bagaimanapun mendapati remaja mengandung dan dirujuk ke Hospital Melaka sebelum mengakui dia telah dirogol oleh bapa kandung sejak usianya 14 tahun,” katanya kepada pemberita, hari ini.

Sumber : Sinar Harian