Bakar Kereta Bantuan Polis Untuk Dapat Tontonan Tinggi di Tiktok, Penghantar Makanan Mengaku Tidak Bersalah.

Penghantar makan, Mohamad Hasif Syazani Zulkifle, 26, yang membakar kereta polis bantuan di Stesen Transit Aliran Massa (MRT) dihadapkan di dua mahkamah di sini, hari ini atas dua tuduhan melakukan khianat.

Pertuduhan pertama di Mahkamah Sesyen, Hasif Syazani mengaku tidak bersalah melakukan khianat api dengan membakar Proton Preve putih milik polis bantuan Prasarana di Stesen MRT Mutiara Damansara, pada 1.17 pagi 15 Februari lalu selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Dr Syahliza Warnoh.

Dia didakwa mengikut Seksyen 435 Kanun Keseksaan (KK) yang membawa kepada hukuman penjara maksimum 14 tahun dan denda jika sabit kesalahan.

Manakala, untuk pertuduhan di Mahkamah Majistret pula, tertuduh didakwa melakukan khianat dengan menconteng dinding di stesen terbabit pada 1.10 pagi pada hari yang sama.

Kesalahan mengikut Seksyen 427 KK itu memperuntukkan hukuman penjara antara setahun hingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Tertuduh dibenarkan diikat jamin dengan RM9,500 dengan seorang penjamin bagi kedua-dua pertuduhan dan syarat tambahan iaitu tertuduh tidak mengganggu saksi pendakwaan dan melaporkan diri di balai polis berdekatan setiap bulan.

Suspek dipercayai bertindak demikian untuk dapat tontonan tinggi di akaun TikTok.

Sumber : Berita Harian