Aplikasi WeChat dan Telegram jadi lubuk pesan pelacur sewaktu PKP

PERINTAH Kawalan Pergerakan (PKP3.0) yang masih berlangsung dengan ketat tidak menghalang sindiket pelacuran berjalan rancak.

Malah khidmat seks turut ditawarkan menerusi aplikasi Telegram dan WeChat yang beroperasi di beberapa hotel yang sering kali bertukar bagi mengaburi pihak berkuasa.

Ketua Pengarah Imigresen Malaysia, Datuk Khairul Dzaimee Daud memaklumkan, seramai 15 wanita warga asing telah ditahan yang bergiat aktif dengan sindiket pelacuran di Hotel Taman Maluri, Cheras semalam.

Kesemua mereka berusia antara 19 hingga 34 tahun yang terdiri daripada warga Vietnam, Thailand, dan Indonesia.

Sindiket menawarkan harga yang bermula RM230 hingga RM500 untuk tempoh 45 minit selain hanya pelanggan yang dikenali dibenarkan masuk.

“Aktiviti pelacuran ini dijalankan di tingkat tiga hotel tersebut dan bilik-bilik didaftar menggunakan nama warganegara tempatan yang disyaki bertindak sebagai penjaga bagi wanita-wanita warga asing tersebut.

“Mereka menjalankan aktiviti pelacuran di premis tersebut tanpa rasa takut terhadap pihak penguatkuasaan dan undang-undang serta tidak menghiraukan wabak Covid-19 yang sedang melanda.

Serbuan yang dijalankan turut menahan seramai tujuh lelaki warga tempatan yang dipercayai sebagai penjaga premis berkenaan.

Antara kesalahan yang dikesan termasuk tiada dokumen pengenalan diri serta tinggal lebih masa.

Jabatan Imigresen turut merampas pelbagai peralatan sindiket antaranya kondom, minyak pelincir, kad akses bilik, CCTV hotel, serta telefon bimbit.

Kes disiasat mengikut Akta Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran (ATIPSOM) dan Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.