Ibu kembar 10 kini ditahan di wad psikiatri

SEORANG wanita didakwa ‘memalsukan’ kelahiran 10 bayi kembar baru-baru ini telah dimasukkan ke hospital untuk mendapatkan rawatan psikiatri.

Pihak polis menahan Gosiame Thamara Sithole, 37 tahun di rumah saudaranya di Johannesburg, Afrika Selatan pada awal Khamis lalu.

Menurut laporan, Sithole dipercayai telah dibawa ke Chloorkop selepas pasangannya, Teboho Tsotetsi membuat laporan polis tentang kehilangannya.

Terdahulu, Sithole mendapat perhatian media tempatan dan antarabangsa selepas dia mendakwa berjaya melahirkan bayi kembar seramai 10 orang melalui pembedahan Ceasarean di sebuah hospital di Pretoria pada 7 Jun dan sekali gus mencipta rekod dunia.

Walau bagaimanapun, ramai yang musykil dengan kesahihan berita tersebut apabila tiada lagi gambar si ibu dan ‘anak-anaknya’

Apa yang lebih mengejutkan, Jabatan Kesihatan Nasional Afrika Selatan dipetik berkata, siasatan mendapati 10 bayi berkenaan tidak pernah wujud.

Namun menurut satu portal tempatan bagaimanapun, mengesahkan kelahiran 10 bayi kembar itu dan berita berkenaannya terpaksa disorok akibat dakwaan kelalaian perubatan.

Dalam pada itu, polis memberitahu Sithole tidak pernah terlibat dalam apa-apa jenayah sebelum ini, namun pernah diletakkan di bawah jagaan Jabatan Pembangunan Sosial Gauteng.

Sithole juga dilaporkan pernah mendakwa saudara pasangannya memungut derma dari masyarakat selepas dia ‘melahirkan’ 10 bayi kembarnya.

Peguam Sithole turut mendakwa anak guamnya kini berada dalam tahanan secara paksa dan akan menmbuat rayuan mahkamah untuk melepaskannya.

Selain itu dia juga berkata, anak guamnya tidak diberi akses kepada pelawat di wad psikiatri di mana dia didakwa ditahan.

Portal Independent Media melaporkan kandungan Sithole sahih dan kecuaian perubatan tidak pernah berlaku.

Laporan itu turut memetik lokasi 10 bayi kembar itu tidak diketahui setakat ini.