Anwar Ibrahim fail semakan kehakiman, tak puas hati isu darurat?

TAK habis-habis dengan isu politik dan kali ini Ketua Pembangkang pula, Datuk Seri Anwar Ibrahim memfailkan semakan kehakiman di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini berkaitan isu deklarasi darurat.

Menurut Peguam Anwar, tindakannya itu disebabkan nasihat Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin terhadap Yang di-Pertuan Agong agar menggantung Parlimen sepanjang tempoh darurat.

Anwar berpendapat, tindakan Perdana Menteri itu bertentangan dengan undang-undang selain tidak berlandaskan Perlembagaan Persekutuan.

“Permohonan tersebut difailkan oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai pemohon (selaku Ketua Pembangkang Dewan Rakyat) melalui Tetuan Karpal Singh & Co. Responden-responden yang dinamakan adalah Perdana Menteri dan kerajaan Malaysia.

“Perlu ditekankan di sini bahawa apa yang dicabar dalam permohonan tersebut bukannya pengisytiharan darurat, tetapi keputusan Perdana Menteri (melalui Jemaah Menteri) untuk menasihati KDYMM SPB Yang di Pertuan Agong untuk meluluskan kaedah 14 Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021 yang menggantung persidangan Parlimen dalam tempoh darurat tersebut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Kata Ram lagi, pihaknya berharap agar satu tarikh bagi mendengar semula permohonan itu dapat ditetapkan.

Perintah Darurat yang diumumkan Perdana Menteri sehingga 1 Ogos telah membawa kepada penggantungan Parlimen serta semua Dewan Undangan Negeri, pilihan raya umum, pilihan raya negeri dan pilihan raya kecil.

Berikutan itu, Ordinan Darurat yang diwartakan 14 Januari lalu memberikan kuasa kepada Perdana Menteri untuk mentadbir negara sepanjang tempoh itu.