Anwar diarah beri keterangan di Bukit Aman

PRESIDEN PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim diarah menjalani siasatan berhubung penyebaran senarai 121 nama Ahli Parlimen yang menzahirkan sokongan terhadap beliau bagi membentuk kerajaan. 

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed berkata, siasatan kini diklasifikasikan di bawah seksyen 505(b) Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi Dan Multimedia. 

“PDRM masih menjalankan siasatan berkenaan dakwaan yang tersebar di media masa. 

“Sehingga kini kita telah menerima sebanyak 113 laporan polis,” katanya dalam satu kenyataan hari ini. 

Justeru, Ahli Parlimen Port Dickson itu telah diarah hadir bagi memberi keterangan pada 16 Oktober di Pejabat Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT), Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman. 

Baru-baru ini, Anwar Ibrahim telah mengadap Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustaffa Billah Shah bagi mempersembahkan dokumen sahih mengenai majoriti kukuh dan meyakinkan daripada Ahli Parlimen. 

Bagaimanapun, difahamkan tiada sebarang nama individu tertentu tertera di dokumen tersebut sebaliknya hanya berbentuk bilangan angka. 

Anwar pada sidang medianya baru-baru ini turut mendakwa kerajaan di bawah pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin tumbang dengan serta merta.

Most Popular