Anak Pakcik Baju Biru Mohon Tidak Kecam Budak Tarik Kerusi dan Ibu Bapanya

Beberapa hari yang lalu tular di media sosial video rakaman CCTV yang memaparkan seorang kanak-kanak menarik kerusi seorang lelaki warga emas, Mohd Kassim Maarof, 63, ketika menunaikan solat Isyak berjemaah di sebuah Masjid Al Falah Taman Tunku Puan Chik, Bahau, Negeri Sembilan.

Menyedari video tersebut tular dan ramai yang mengecam tindakan kanak-kanak serta kedua ibu bapanya. Menerusi hantaran Facebook Khairul Amzar Tansri yang merupakan anak kepada lelaki tersebut, beliau meminta agar netizen dan orang awam berhenti mengecam seluruh ahli keluarga kanak-kanak terbabit.

“Cuma kali ini, saya memohon kepada semua, agar dihentikan kecaman terhadap anak kecil dan ibu bapa anak yang terlibat

“Mohon jangan lemparkan kata-kata kesat, kecaman, atau cyberbully terhadap anak tersebut, juga terhadap kedua-dua ibu bapanya. Mohon tinggalkan komen-komen murni sebagai pengajaran, peringatan dan ibrah buat kita semua,” jelasnya dalam hantaran tersebut. 

Khairul juga menganggap kejadian yang berlaku merupakan ujian bukan sahaja kepada keluarganya malah kepada keluarga kanak-kanak terbabit.

“Allah telah memilih pakcik baju biru (dan kami sekeluarga), anak dan ibu bapa anak tersebut untuk didatangkan ujian pada kali ini. Kami redha atas ujian tersebut. Allah uji tanda Allah sayang. Alhamdulillah,” ujarnya.

Selepas mendapatkan rawatan di salah sebuah hospital swasta, Kassim Maarof dibenarkan pulang untuk berehat di rumah.

Hasil ujian CT scan juga menunjukkan tiada sebarang kecederaan berlaku di bahagian kepala, bahagian pinggul, tulang belakang, atau kebas kaki.