Alif Satar & Raihan Kembali Dengan ‘ Damba CintaMu’

    Alif Satar dan Raihan kembali dengan single ‘cover’ terbaru berduet bersama-sama sekali lagi pada bulan ramadan tahun ini. Selepas kejayaan Sesungguhnya2019 pada ramadan lalu, Alif terus tanpa berlengah lagi mahukan lagu kedua dirakamkan. Alif Satar yang sememangnya meminati kumpulan nasyid nombor satu Malaysia Raihan tanpa berlengah lagi memilih lagu Damba CintaMu. Mereka menyimpan rahsia tajuk lagu lebih setahun walaupun di asak dengan soalan dan pertanyaan tajuk lagu mana yang akan mereka berkolabrasi sekali lagi.

     

    Menurut Alif, dia memilih lagu ini kerana ia merupakan antara lagu kegemarannya semasa mendengar lagu-lagu Raihan dan ia cukup memberi kesan keinsafan dalam mencari cinta kepada tuhan. Lagu ini bukan pilihan sekarang tetapi sudah lama kerna baginya berduet dengan Raihan merupakan suatu kebanggaan buat dirinya kerana menghormati Raihan sebagai lagenda muzik tanah air.

    Susunan lagu ini di buat untuk memberi impak yang sangat kuat. Melodi lagu asal ini lebih kepada ‘accapela’ tetapi kali ini sususan lagu dan melodi di buat dengan lebih segar dan moden kerana liriknya sahaja sudah cukup bermakna. Susunan lagu ini dibuat oleh ahli-ahli band Alif iaitu The Locos.Penggunaan alat muzik sangat sesuai pada tempatnya dan secukup rasa tidak berlebihan. Bunyi drum yang bersahaja tetapi ada dinamiknya bila tiba masanya. Gitar dan bass juga bersesuaian dan tentunya bunyi clarinet yang seolah-olah menangis.

    Kami tidak sempat menyiapkan video muzik lagu ini namun kami persembahkan lirik video untuk tayangan di platform YouTube. Menariknya, lirik video kali ini seolah – olah ada kena mengena dengan apa yang kita sedang lalui sekarang. Lirik video kali ini juga, kami menyediakan sarikata Bahasa Inggeris bagi bait-bait lirik untuk memudahkan orang yang tidak memahami Bahasa Melayu. Lebih menarik lagi,kami menggunakan khidmat seorang selebriti wanita terkenal dan sempat merakamnya terlebih dahulu sebelum perintah kawalan pergerakan di umumkan. Siapa selebriti tersebut? Sila tonton lirik video tersebut dan anda boleh ketahui siapakah gerangan selebriti tersebut.

     

    Menurut Raihan :

    Damba CintaMu dicipta oleh Abu Bakar (anggota Raihan) pada tahun 1997. Lagu ini adalah tentang pengakuan secara terus terang kita sebagai hamba kepada Tuhan yang Esa. Sebagai manusia yang biasa kita kadang-kadang buat baik,kadang kala kita tidak sengaja dan kita terlupa siapa diri kita sebagai hamba Allah. Ada kalanya kita sengaja berbuat dosa,sedangkan kita tahu Allah Maha Melihat & Maha Mengetahui.Tapi rahmat dan pengampunan Allah itu maha luas.Jangan sesekali kita berputus asa dengan rahmat Allah. Selepas berbuat salah kembalilah bertaubat kepadaNYA.Walaupun berulangkali berbuat salah tetaplah kembali semula bertaubat kepada Allah swt.Kita takut kepada Allah tetapi kita mengharap pada Allah. Kita tiada pilihan selain kembali kepada Allah yang Esa.

     

    Menurut Abu Bakar, dia berasa bersyukur kerana lagu ini kembali didengari pada tahun 2020 dan sangat berterima kasih kepada Alif Satar dan sahabat-sahabat Raihan. Cuma saya agak sedih kerana seminggu sebelum lagu ini direkodkan, ibu saya telah kembali ke rahmatullah. Jadi jika ada kebaikan, jika ada yang mendapat hidayah,jika ada yang memeluk islam setelah mendengar lagu in,saya hadiahkan semua semua pahala yand ada pada ibu saya Hjh Raden Ramlah Bte Raden Haji Ali…. Amin

     

    Manakala menurut Che Am, dia berasa bersyukur sebab Alif amat meminati dengan lagu-lagu Raihan dan memilih Damba CintaMu sebagai single kedua dan lagu ini agak ‘rare’ juga kerana liriknya amat mendalam. Kami amat bersyukur kerana Alif tidak menunggu lama untuk membuat pilihan lagu.Diharap lagu ini dapat diterima oleh generasi kini.Harapan kami semoga lagu ini menerima kejayaan seperti lagu Sesunggunya2019 atau malah lebih lagi. Lagu ini sesuai dengan keadaan sekarang dimana kita dikenakan PKP. Kami juga berharap lagu ini dijadikan pilihan pendengar sepanjang ramadan dan juga sampai bila-bila.

     

    Lagu ini juga merupakan lagu terbitan pertama ASET RECORDS (Alif Satar Entertainement Records) milik Alif sendiri. Alif kini telah menubuhkan syarikat rakamannya sendiri. ASET RECORDS diuruskan oleh Alif dan bapanya Encik Satar serta Pengurusnya Adlina. Disamping itu juga beberapa orang kuat industri muzik.ASET RECORDS berkerjasama dengan Universal Music Malaysia sebagai pengedar di platform digital dan promosi single lagu Damba CintaMu. Lagu ini merupakan projek sulung syarikat rakamannya dan akan ada lagi beberapa projek lain yang akan di jalankan. Memandangkan keadaan sekarang projek-projek lain terpaksa ditangguhkan dahulu.

     

    Damba CintaMu akan berada di semua platform streaming pada 27 April 2020 Isnin 4 Ramadan. Manakala lirik video juga ditayangkan pada tarikh yang sama di YouTube. Alif sebelum itu telah pun mengeluarkan ‘teaser’ lagu ini pada hari pertama ramadan untuk membuatkan ramai peminat Alif dan Raihan tertanya-tanya lagu apa yang dipilih kali ini. Bagi peminat ‘hardcore’ Raihan pasti sudah mengenali lagu ini, pada yang tidak pernah mendengarnya pasti akan berkata ia lagu baru. Selamat mendengar!