Abang Stacy Anam meninggal dunia selepas ditidurkan selama seminggu

PENYANYI Stacy Anam baru sahaja kehilangan abangnya iaitu Chaq, 35, yang telah meninggal dunia di Hospital Sibu, Sarawak jam 4.30 pagi, hari ini.

Chaq atau nama sebenarnya Camellus Delleli Anam dirawat di hospital tersebut kerana mengalami pendarahan dalam kepala selepas terbabit dalam kemalangan jalan raya pada 12 Mac lalu.

Berita sedih pemergian Chaq yang juga bekas peserta Mentor musim ketiga itu disampaikan oleh adik lelakinya, Aldrich yang menjaganya di hospital.

Sumber gambar – Xtra

“Abang saya sudah tiada,” kata Aldrich kepada Berita Harian.

Menurut laporan Berita Harian, penyanyi sambilan itu ditidurkan selama seminggu setelah bertarung nyawa walaupun sudah menjalani dua pembedahan disebabkan pendarahan itu.

Akibat kemalangan itu, beberapa organ dalaman Chaq mengalami gangguan antaranya masalah tekanan darah dan jantung selain hati dan limpa mengalami luka. Buah pinggangnya juga terkesan akibat kecederaan yang dialami.

Terdahulu, Stacy ada memohon orang ramai supaya mendoakan agar abangnya terus kuat berjuang dan kembali sihat seperti sedia kala.

Sumber gambar tajuk – I Love Borneo | Sumber laporan – Berita Harian