90 Gambar dan Tiga Video Lucah Ditemui Dalam Data Telefon Ebit Lew

 

Saksi kelapan Juruanalisis Unit Siasatan Jenayah Makmal Forensik Polis Diraja Malaysia (PDRM), Inspektor Yip Chang Ching mendedahkan sebanyak 90 gambar dan tiga video berunsur lucah ditemukan dalam data yang telah diekstrak daripada telefon bimbit Ebit Irawan Ibrahim Lew atau Ebit Lew.

Pegawai polis itu memberitahu Mahkamah Majistret hari ini, beliau menganalisa data itu yang disimpan dalam sebuah pemacu kilat dan hasil analisanya pada 10 Mac 2022 menemukan gambar itu serta tiga lagi rakaman video.

Chang Ching berkata demikian ketika diminta oleh Timbalan Pendakwa Raya, Zahida Zakaria untuk memberitahu hasil analisis beliau terhadap pemacu kilat yang diserahkan oleh syarikat LGMS Berhad kepada PDRM.

Beliau juga menjelaskan mengambil masa kira-kira empat jam 50 minit untuk membuka fail yang diekstrak itu supaya boleh dibaca perisian forensic.

“Setelah fail dibuka, saya mengambil masa lebih kurang dua hari untuk meneliti dan menganalisa data itu, supaya dapat mengeluarkan data yang diperlukan mengikut permohonan dalam borang analisa yang disediakan pegawai penyiasat,” katanya pada perbicaraan kes Ebit Lew.

Selain daripada gambar dan video lucah, data analisisnya itu turut mengandungi dua panggilan keluar yang dijawab pihak lain selama 136 saat dan 1,346 saat masing-masing pada 1 Mei 2021 pukul 7.28 pagi dan 20 Mei 2021 pukul 7.50 pagi.

Pemacu kilat tersebut telah pun diserahkan kepada pegawai penyiasat pada 10 Jun 2023.

Perbicaraan di hadapan Majistret Nur Asyraf Zolhani bersambung esok.

Sumber : Sinar Harian