Kereta Cuba Elak Motor Terbabas, Tujuh Kenderaan Terbabit Nahas

Sebuah video kemalangan membabitkan dua kereta dan lima motosikal Kilometer (KM) 5.4 Jalan Ismail Sultan menghala ke Johor Bahru  pada Ahad lalu tular di media sosial.

Menurut Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner Rahmat Ariffin, Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) menerima laporan berhubung kemalangan jalan raya berkenaan sekitar jam 9.21 malam Ahad.

“Hasil siasatan awal mendapati kemalangan berlaku apabila sebuah kereta jenis Mazda di lorong kanan mengubah laluan ke sebelah kiri kerana cuba mengelak sebuah motosikal yang terbabas dan tidak dialihkan di lorong kanan.

“Sebuah kereta jenis Kia yang berada di belakang kereta jenis Mazda cuba mengelak dengan berhenti secara mengejut di bahu kanan jalan menyebabkan sebuah motosikal yang bergerak lurus tidak sempat mengelak lalu melanggar bahagian belakang kereta jenis Kia tersebut disusuli dengan perlanggaran empat motosikal sesama sendiri yang datang dari arah belakang.

“Ekoran daripada kemalangan tersebut, dua mangsa terpaksa mendapatkan rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Sultanah Aminah (HSA) Johor Bahru manakala empat penunggang motosikal yang lain mengalami kecederaan ringan dan kedua-dua pemandu kereta tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Kes disiasat di bawah Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sumber : Sinar Harian