“Yang single tu dah boleh nangis kat bucu katil” – Beruang bahagia dirangkul model jelita seluruh dunia

BERUNTUNGNYA jadi seekor beruang jantan bernama Stepan di Rusia. Selain pandai pose di depan lensa kamera, Stepan juga dilihat cukup bahagia dirangkul erat model jelita dari seluruh dunia.

Siapa sangka seekor beruang jantan yang ditinggalkan induknya sejak kecil dan dipelihara oleh manusia, kini sudah bergelar model penggambaran di kota raya Moscow, Rusia, demikian lapor akhbar Daily Mail.

Jurugambar Rusia, Mila Zhdanova berkata, dia mendapat idea untuk menjadikan beruang coklat berusia 28 tahun yang diberi nama Stepan itu sebagai model apabila mendapati haiwan itu sangat jinak.

“Saya bertemu Stepan melalui perkenalan dengan pemiliknya iaitu pasangan suami isteri, Svetlana dan Yuri Pantileenko beberapa bulan lalu. Beruang itu sangat jinak dengan manusia.

“Mulai saat itu, saya mendapat idea untuk menjadikan Stepan sebagai model dan beraksi bersama peragawati dari negara seperti Thailand, Australia, Jerman serta Britain,” katanya.

STEPAN bergambar bersama seorang model wanita pada sesi penggambaran di Moscow, Rusia, baru-baru ini.

Bagaimanapun, Zhdanova berkata, disebabkan Stepan hanya boleh beraksi di hadapan kamera dalam masa yang singkat, menyebabkan tempoh penggambaran mengambil masa lama untuk disempurnakan.

“Tempoh penggambaran akan mengambil masa kerana Stepan hanya boleh memberi kerjasama dalam masa setengah jam untuk satu sesi.

“Namun sesi penggambaran bersama Stepan berlangsung lancar tanpa sebarang masalah berbanding penggunaan anak kucing,” katanya.

Zhdanova berkata, mesej yang ingin disampaikan melalui gambar yang disiarkan itu adalah supaya masyarakat dunia mengubah prejudis mereka terhadap warga Rusia.

“Orang ramai kerap menganggap masyarakat Rusia tidak mesra dan melihat beruang berkeliaran di jalan-jalan di negara ini.

“Saya ingin tonjolkan sisi mesra orang Rusia dan berharap masyarakat dapat melihat keindahan serta kekuatan haiwan serta alam semula jadi pada gambar tersebut,” ujarnya. – Agensi

Sumber: Kosmo!