Wanita selit dadah dalam coli dicekup pihak berkuasa

DAH tak ada tempat lain ke nak sorokkan dadah? Seorang wanita ditahan kerana cuba menyeludup dadah jenis methamphetamine yang disorok di dalam coli yang sedang dipakainya di Lapangan Terbang Hang Nadim Airport di Batam, Kepulauan Riau di Indonesia, lapor portal Tribune News.

Suspek bersama seorang rakan lelaki ditahan sekumpulan pegawai Keselamatan Penerbangan (Avsec) selepas sistem penggera pada mesin pengimbas keselamatan di lapangan terbang itu berbunyi.

Penahanan itu disahkan oleh Pengarah Komunikasi Maklumat Telekomunikasi dan Lapangan Terbang, Suwarso.

Suspek dicekup pihak berkuasa selepas cuba menyorokkan dadah jenis methamphetamine di dalam coli yang sedang dipakainya.

“Pagi tadi (kelmarin) pegawai-pegawai Avsec menahan suspek wanita yang juga seorang penumpang. Semasa melalui kawasan imbasan, sistem penggera tiba-tiba berbunyi.

“Pegawai wanita Avsec membuat pemeriksaan manual termasuk pada bahagian dada penumpang itu kerana mengesyaki ada objek disorok dalam bajunya.

“Selepas melakukan pemeriksaan lebih mendalam, ada satu bungkusan plastik hitam dipercayai mengandungi dadah methamphetamine dijumpai di dalam baju dalamnya,” kata Suwarso.

Suwarso berkata, rakan suspek, seorang lelaki pada awalnya cuba melarikan diri tetapi gagal. Dadah yang dirampas itu adalah seberat kira-kira 117 gram.

“Kedua-dua suspek dikenali dengan singkatan nama iaitu SM, 39, ialah seorang wanita dan As berumur 36 tahun adalah lelaki,” jelasnya.

Suwarso berkata, kedua-dua suspek mahu menaiki penerbangan Batik Air pukul 7.30 pagi (waktu tempatan) ke Pulau Lombok. – Agensi

Sumber: Kosmo!