Wanita mengamuk, berang ditegur penumpang lain gara-gara tidak pakai pelitup muka

AKIBAT berang ditegur, seorang wanita ditahan polis selepas mencetuskan kekecohan di dalam pesawat Ryanair dari Ibiza, Sepanyol ke Lapangan Terbang Milan Bergamo, Itali gara-gara enggan memakai pelitup muka.

Melalui rakaman yang tular di media sosial, wanita tersebut menarik rambut seorang penumpang lain, menendang seorang lagi dan meludah ke arah penumpang lain sebelum dibawa keluar daripada pesawat berkenaan.

Menurut sumber, kekecohan itu tercetus apabila wanita itu diminta oleh penumpang lain untuk memakai pelitup muka dan mengamalkan penjarakan sosial.

Namun, dia terus memarahi penumpang tersebut dan meludah ke arah seorang penumpang lain.

Sehubungan itu, wanita berkenaan telah ditegur oleh anak kapal, tetapi wanita itu terus naik berang dan menarik rambut seorang penumpang lain.

Di akhir rakaman video berkenaan, wanita itu dilihat dibawa keluar pesawat berkenaan sebelum menendang seorang penumpang lain.

Ryanair memaklumkan anak kapal penerbangan dari Ibiza ke Milan Bergama pada 26 Mei lalu meminta bantuan pihak polis sebaik mendarat selepas seorang penumpang mencetus kekecohan semasa di udara.

“Pesawat berkenaan mendarat seperti biasa dan pihak polis menahan wanita berkenaan di Lapangan Terbang Milan Bergamo. Perkara ini sekarang diserahkan kepada polis,” tambah kenyataan tersebut.

Susulan kejadian, wanita berkenaan meluahkan perasaan tidak puas hati di akaun media sosial Instagram miliknya serta memberi amaran akan mengambil tindakan undang-undang terhadap mereka yang berkongsi video insiden berkenaan.