Tuduh warga emas sebagai pencuri, kemudian belasah hingga mati gara-gara motosikal bergesel

KEJAM! Itu yang boleh digambarkan apabila sekumpulan penunggang motosikal tergamak menuduh seorang warga emas berusia 89 tahun sebagai pencuri kenderaan lalu membelasahnya sehingga mati.

Menerusi laporan Kosmo, Kumpulan remaja itu dikatakan telah mengejar mangsa yang memandu Toyota Rush sambil menjerit “pencuri” dalam kejadian yang terjadi di Jakarta Timur itu.

Mereka kemudian berjaya membuatkan mangsa memberhentikan kenderaan sebelum menariknya keluar, membelasah warga emas itu hingga mati dan melarikan diri dari tempat kejadian.

Dua anggota polis yang mengikuti kejadian itu bagaimanapun tidak berdaya menyelamatkan mangsa daripada terus dibelasah.

Menerusi laporan polis, pihak berkuasa mengesahkan mangsa ialah pemilik sebenar kereta itu dan bukanlah seorang pencuri seperti yang didakwa.

“Kereta mangsa mungkin bergesel sedikit dengan motosikal salah seorang anggota kumpulan bermotosikal itu dan membuatkan mereka menjerit perkataan pencuri sebagai alasan untuk mengejar dan membelasah mangsa,” kata Ketua Unit Siasatan Jenayah Polis Jakarta Timur, Ahsanul Muqaffi.

Kini, pihak polis sedang menjalankan siasatan bagi mengenal pasti siapakah yang mencetuskan jeritan pencuri sehingga menyebabkan berlakunya insiden malang itu.

Sumber: Kosmo