Rusuhan Di Hong Kong : Semua Sekolah Ditutup Esok

Rusuhan Antikerajaan di Hong Kong semakin memuncak dalam 3 hari ini. (Gambar AP)

HONG KONG

Semua sekolah di seluruh Hong Kong akan digantung sesi persekolahan esok kerana masalah pengangkutan dan keselamatan yang semakin memuncak.

Dalam kenyataan yang dibuat Biro Pendidikan, semua penunjuk perasaan turut digesa menghentikan tindakan keganasan serta-merta.

Pihak berkuasa Hong Kong hari ini bersiap sedia untuk berdepan lebih banyak pertempuran dengan penunjuk perasaan antikerajaan sehingga menyebabkan kota raya itu lumpuh.

Difahamkan beberapa rangkaian pengangkutan, sekolah dan banyak perniagaan terpaksa ditutup selepas keganasan semakin memuncak dalam tiga hari ini.

Tunjuk perasaan di Hong Kong bermula dengan cadangan rang undang-undang ekstradisi yang membolehkan penduduk bandar raya itu dibawa ke tanah besar China untuk dibicarakan, namun kemudiannya dibatalkan.

Bantahan itu bagaimanapun berkembang kepada tuntutan demokrasi yang lebih luas dan siasatan bebas terhadap aduan mengenai kekerasan yang dilakukan oleh polis.

Protes antikerajaan yang berlarutan berbulan-bulan itu menyebabkan tanah bekas jajahan British tersebut berada dalam krisis terbesar dekad ini, tanpa sebarang tanda menunjukkan ia akan berakhir.