HANYA disebabkan ingin membeli kad prabayar internet (top-up) untuk permainan komputer dalam talian, seorang remaja sanggup mencuri wang serta membakar rumah jirannya.
Menurut laporan portal berita Tribunnews, kejadian tersebut berlaku pada 8 Mei lalu di Jawa Timur, Indonesia.
bagaimanapun, suspek berusia 15 tahun itu berjaya diberkas penduduk setempat semasa cuba melarikan diri ke Desa Jambangan, Kabupaten Candi, Kabupaten Sidoarjo pada jam 6 petang hari yang sama.
Difahamkan suspek telah memasuki rumah terbabit melalui tingkap sebelum membakar kasut di rumah berkenaan selepas gagal mencuri wang.
Remaja berkenaan kemudian cuba melarikan diri daripada rumah terbabit namun berjaya ditangkap oleh penduduk setempat sebelum diserahkan kepada pihak berkuasa Sidoarjo, Jawa Timur.
Api dikatakan terus marak sehingga menyebabkan keseluruhan rumah berkenaan hangus dijilat api. Namun, mangsa tidak berada di rumah ketika kejadian.
Menurut polis, remaja berkenaan mempunyai rekod jenayah lampau membabitkan kes kecurian di rumah sama melibatkan wang sebanyak 1 juta rupiah (RM300).
Suspek juga merupakan jiran kepada mangsa dan dipercayai lakukan perbuatan itu kerana tidak mempunyai wang untuk membeli kad prabayar internet bagi meneruskan permainan dalam talian.
Selain itu, suspek juga dikaitkan dengan kes mencuri wang tabung derma. Bapa suspek telah memohon maaf di atas kejadian tersebut dan sanggup membayar ganti rugi kepada mangsa.
Sumber: Tribun News