Puak LGBT mohon mansuh undang-undang larangan seks gay di mahkamah

PULAK dah… Tiga aktivis Singapura melancarkan rayuan terhadap keputusan sebuah mahkamah mengekalkan undang-undang mengharamkan seks sesama lelaki dalam usaha terbaharu bagi memansuhkan peraturan era kolonial tersebut, lapor Kosmo!

Memetik laporan asal AFP, peraturan itu yang merupakan peninggalan penjajah British di Singapura, jarang dikuatkuasakan tetapi aktivis-aktivis berkata, ia bercanggah dengan budaya moden Singapura.

Sebilangan yang lain bagaimanapun mahu Singapura kekal konservatif dan tidak bersedia untuk perubahan tersebut, manakala pihak berkuasa percaya majoriti rakyat Singapura tidak menyokong memansuhkan undang-undang zaman kolonial tersebut.

Pada tahun lalu, Mahkamah Tinggi menolak permohonan mencabar undang-undang itu yang dikemukakan oleh seorang pesara doktor , deejay dan penyokong kumpulan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT).

Trio tersebut mencabar keputusan Mahkamah Tinggi di Mahkamah Rayuan Singapura semalam.

M.Ravi yang merupakan peguam mewakili doktor bersara, Roy Tan memberitahu dalam komen di Facebook bahawa beliau berhujah larangan seks sejenis adalah ‘mengarut’.

Tindakan mencabar undang-undang itu ditolak sebanyak dua kali iaitu pada 2014 dan sekali lagi tahun lalu.

Di bawah undang-undang itu yang diperkenalkan di Singapura pada tahun 1938, mereka yang didapati bersalah boleh dihukum penjara maksimum dua tahun.

Sumber: Kosmo!