Pesawat Terhempas Di Hutan Amazon, Empat Beradik Ditemukan Selamat Selepas Hilang 40 Hari

Foto : AFP

Empat kanak-kanak yang hilang di hutan selepas nahas pesawat Colombia ditemukan hidup selepas 40 hari kehilangan mereka.

Presiden Colombia Gustavo Petro mengumumkan berita gembira itu dengan turut memuat naik gambar adik-beradik itu di Twitter.

Portal Independent melaporkan Petro mengumumkan bahawa empat beradik yang hilang selepas pesawat yang mereka naiki terhempas di hutan hujan Amazon disahkan terselamat dan sedang menerima rawatan perubatan.

“Kegembiraan untuk seluruh negara! Empat kanak-kanak yang hilang 40 hari lalu di hutan Colombia didapati masih hidup,” kata Petro di Twitter pada Jumaat.

Petro berkata, kanak-kanak yang ditemukan itu adalah contoh takdir kelangsungan hidup dan meramalkan kisah mereka akan kekal dalam sejarah.

Adik-beradik itu, Lesly Jacobombaire Mucutuy, 13; Soleiny Jacobombaire Mucutuy, 9, Tien Noriel Ronoque Mucutuy, 4, dan Cristin Neriman Ranoque Mucutuy, 11 bulan, antara penumpang sedang dalam perjalanan dengan pesawat Cessna 206 ketika ia terhempas pada 1 Mei berhampiran wilayah Guaviare.

Ibu mereka, Magdalena Mucutuy, juruterbang pesawat itu, dan seorang lagi penumpang terkorban dalam kemalangan itu tetapi kanak-kanak itu tidak ditemukan di mana-mana ketika pencarian awal, menurut Tentera Udara Colombia.

Mucutuy sedang dalam perjalanan bersama anak-anaknya ke Bogota untuk bertemu suaminya Manuel Ranoque untuk bersama-sama memulakan hidup baharu.

Sumber : Harian Metro