Menyedari tidak memerlukan lagi lelaki di sisi selepas berpisah, seorang wanita membuat keputusan berkahwin dengan dirinya sendiri.
Robbie Fincham, 57, dari Melbourne, Australia yang juga ibu kepada tiga anak itu turut mengadakan majlis perkahwinan yang meriah yang dihadiri rakannya.
Mirror UK melaporkan dalam majlis itu, dia turut ‘menerima’ cincin perkahwinan, kek dan mempunyai pengiring pengantin.
Majlis itu juga dipancarkan dalam talian melalui Zoom untuk tetamu di luar negara, termasuk seorang lelaki di Sweden dan seorang wanita di Singapura.
Ibu kepada Roland, 24, dan anak kembar, Erica dan Alice, 21, itu sebelum ini sudah berpisah dengan pasangannya selama 20 tahun pada 2015.
“Saya melafazkan ikrar saya depan cermin, dan berjanji untuk sentiasa menyayangi diri sendiri, ia agak mendalam sebenarnya…. Saya hanya berasa sangat gembira.
“Disebabkan saya sendiri sebenarnya tidak pernah berkahwin secara sah dan formal, saya terfikir mungkin ini perasaan pengantin.
“Saya tidak tahu sama ada saya akan berkahwin dengan orang lain pada masa hadapan walaupun hubungan manusia adalah penting,” katanya.
Berikutan ‘keruntuhan’ hubungannya dengan bapa anak-anaknya, dia mula beranggapan pasangan sempurnanya tidak wujud.
Di Australia, perkahwinan sendiri tidak diiktiraf secara rasmi oleh undang-undang, jadi majlis Robbie adalah simbolik semata-mata dan tidak mengikat secara sah.
Sumber : Harian Metro