Penghuni di zoo murung kerana rindukan manusia

HAIWAN di Zoo London terasa ‘sunyi’ kerana tidak berpeluang berinteraksi de­ngan manusia selepas perintah berkurung kali kedua akibat pandemik Covid-19 berkuat kuasa semula di England, kata kumpulan penjaga haiwan di zoo tersebut, lapor Kosmo!

Zoo itu menutup pintu kepada orang ramai dengan beratus-ratus haiwan hilang kunjungan pelawat.

Ada beberapa haiwan seperti singa dan harimau Sumatera masih kekal dengan tingkah laku biasa, memetik laporan asal portal berita Metro UK.

Bagaimanapun, penjaga haiwan mendakwa, sikap haiwan lain seperti gibon bernama Jimmy ternyata amat berbeza.

Penjaga zoo bernama Daniel Simmonds berkata, Jimmy sudah biasa berinteraksi dengan manusia pada setiap hari.

“Sekarang tiada sesiapa mencari Jimmy lagi dan ke­adaan kini berbeza. Jimmy suka melihat orang yang berbeza, kasut dan pakaian berbeza. Agak menyedihkan melihat ia merindui apa yang disukai.

“Haiwan seperti ini biasa menerima lebih satu juta pengunjung pada setiap tahun,” katanya.

Selain Jimmy, penguin jenis Humboldt, gorila dan kambing pigmi juga mempamerkan perubahan sikap. Kakitangan zoo tetap berada di zoo semasa perintah berkurung untuk cuba mengekalkan rutin harian seperti biasa.

Perintah berkurung kedua turut menjejaskan sumber pendapatan Zoo London.

Persatuan Zoologi London (ZSL) yang menguruskan Zoo London dan Zoo Whipsnade di Bedfordshire kini mengalami kekangan kewangan untuk membeli makanan serta memberikan penjagaan kepada lebih 20,000 haiwan tanpa sumber perolehan tetap.

Ketua Pengarah ZSL, Dominic Jermey memberitahu akhbar The Telegraph bahawa tindakan menutup zoo menyebabkan sumber pendapatan utama terputus.

“Sebulan kos yang ditanggung ialah hampir £1 juta (RM5.4 juta) untuk menjaga dan memberi makan kepada 20,000 haiwan di kedua-dua zoo. Kami tidak boleh memberhentikan kumpulan penjaga dan verterinar ketika ini.

“Kami mohon orang ramai untuk membantu kami melalui sumbangan, membeli tiket hadiah untuk lawatan masa depan atau menyertai keahlian. Ada banyak cara untuk membantu,” jelasnya.

Sumber: Kosmo!