SEORANG wanita maut selepas seorang bekas pengawal keselamatan di sebuah hospital menyamar sebagai doktor dan melakukan pembedahan ke atasnya.
Wanita yang berasal dari Pakistan, Shameema Begum, 80, meninggal dunia pada 6 Jun, dua minggu selepas Muhammad Waheed Butt cuba merawat luka pada bahagian belakang badannya di sebuah hospital awam.
Menurut seorang kakitangan hospital yang enggan dikenali, “Kami tidak boleh memantau apa yang doktor dan semua orang di sini buat. Ini adalah hospital yang besar”.
Setakat ini pihaknya tidak dapat mengenalpasti jenis pembedahan yang dilakukan di dewan prosedur walaupun ia turut disertai pegawai teknikal berkelayakan semasa pembedahan dilakukan.
Dalam pada itu, di hospital awam di Pakistan, pesakit perlu membayar sejumlah wang bagi mendapatkan rawatan, kebiasaannya kurang efisien dan huru-hara.
Keluarga Begum membayar Butt untuk pembedahan berkenaan, dan dua lagi kunjungan ke rumah bagi membersihkan luka.
Walau bagaimanapun, pendarahan dan kesakitan semakin teruk menyebabkan keluarganya membawa Begum semula ke hospital dan mengetahui bahawa doktor berkenaan adalah seorang penyamar.
Mayatnya disimpan untuk bedah siasat bagi menentukan sama ada kematiannya disebabkan komplikasi daripada pembedahan berkenaan atau sebaliknya.
Sehubungan itu, pengawal berkenaan telah didakwa dan dalam tahanan polis. Terdahulu, Butt pernah menyamar sebagai doktor dan membuat kunjungan ke rumah pesakit.
Kakitangan Hospital Mayo berkata, Butt dipecat dua tahun lalu kerana cuba memeras wang daripada pesakit. Pada awal Mei, seorang lelaki ditangkap kerana berpakaian sebagai doktor di Hospital Umum Lahore dan memeras wang dari pesakit di wad pembedahan.
Pada tahun 2016, seorang wanita menyamar sebagai pakar bedah saraf melakukan pembedahan selama lapan bulan bersama doktor berkelayakan di Hospital Perkhidmatan Lahore, kemudahan kesihatan kedua terbesar di Pakistan.
Sumber: HMetro