Pencuri tumbuk muka warga emas berkali-kali semasa curi kereta, namun akhirnya maut dalam kemalangan

SEORANG lelaki di Austin, Texas menerima balasan serta-merta apabila maut dalam kemalangan sejurus selepas mencuri sebuah kereta milik seorang warga emas berusia 72 tahun.

Suspek itu dilaporkan menumbuk mangsa,  Shirlene Hernandez, berkali-kali sehingga menyebabkan luka dan lebam teruk ketika wanita itu berhenti di sebuah stesen minyak sebelum melarikan keretanya, lapor Kosmo.

Bagaimanapun tidak lama selepas kejadian itu, pihak polis menemui kereta Hernandez dalam keadaan remuk dengan pencuri tersebut kaku di tempat duduk pemandu.

Keadaan Shirlene Hernandez selepas terlibat dalam kejadian malang tersebut. Foto: NEWS4SANANTONIO

“Ramai yang berkata bahawa apa yang berlaku adalah lelaki itu mendapat balasan selepas melakukan kejahatan pada diri saya,  namun sejujurnya, saya sedih kerana dia mati dalam keadaan menyedihkan seperti itu.

“Kini saya perlu mencari jalan bagaimana hendak mendapatkan kereta baharu kerana saya tidak mahu berhenti bekerja,”kata Hernandez.

Penduduk tempatan dan cucu Hernandez, Helen Garcia telah mewujudkan halaman derma awam atau crowdfunding di laman sesawang GoFundMe untuk membantu neneknya mengumpul dana bagi membeli kereta ganti.

Menjelang pagi semalam,  derma yang dikumpulkan telah melebihi AS$23,000 (RM98,325)  walaupun sasaran awal cuma AS$5,000 (RM21,375).

Sumber: Kosmo