Pakai Tudung Terkeluar Rambut, Guru Putuskan Cukur Kepala 14 Pelajar

Foto: Kosmo

JAKARTA – Sebuah sekolah awam di Indonesia mencetuskan kontroversi selepas seorang guru bertindak mencukur kepala 14 pelajar perempuan kerana tidak memakai tudung dengan sempurna, lapor laman berita Wion News semalam.

Insiden itu berlaku di sebuah sekolah menengah, SMPN 1 Lamongan, dalam wilayah Jawa Timur.

Seorang guru yang identitinya tidak didedahkan dilaporkan mencukur kepala 14 pelajar tersebut pada Rabu lepas.

Menurut pengetua sekolah berkenaan, Harto, pihak sekolah telah membuat permohonan maaf dan menggantung tugas guru tersebut.

Harto memberitahu agensi berita AFP bahawa tiada kewajipan rasmi untuk pelajar perempuan memakai tudung di sekolah, namun mereka digalakkan memakai anak tudung supaya kelihatan lebih kemas.

Pelajar-pelajar terlibat bagaimanapun dikatakan enggan menuruti saranan tersebut yang menyebabkan anak rambut mereka dapat dilihat.

Susulan kejadian itu, pihak sekolah telah mengadakan perbincangan dengan ibu bapa dan waris pelajar terlibat serta mencapai persetujuan bersama.

Sekolah berkenaan turut berjanji untuk menyediakan bantuan psikologi ke atas para pelajar berkenaan bagi membantu mereka menangani trauma daripada kejadian tersebut.

Kes berkenaan menerima kritikan kumpulan-kumpulan hak asasi manusia yang turut menggesa agar guru tersebut dilucutkan daripada jawatannya. 

Sumber: Kosmo