Gempa Bumi 7.1 Magnitud Di Bali, Tiada Kerosakan Besar

Foto: Berita Harian

DENPASAR, Indonesia – Gempa bumi kuat berukuran 7.1 pada skala Richter dan sebilangan gempa susulan menggegarkan Bali serta beberapa pulau lain di Indonesia hari ini, lapor Jabatan Kajian Geologi Amerika Syarikat (USGS), menyebabkan pelancong yang panik berlari ke jalan-jalan tetapi tidak mencetuskan kerosakan besar.

Gempa itu berlaku pada kedalaman 515 kilometer di perairan timur laut Bali pukul 3.55 pagi (waktu tempatan), demikian menurut USGS.

Gegaran dapat dirasakan di seluruh Bali serta pulau-pulau berdekatan termasuk Lombok dan Sumbawa.

Penduduk Bali berkata, gempa kedua mengakibatkan ‘gegaran lebih lama dan lebih kuat’ berbanding yang pertama.

“Apabila gempa pertama berlaku, saya mengejutkan suami saya. Tidak lama selepas itu, gempa kedua melanda. Kami pun  segera membawa anak-anak kami ke luar dari rumah.

“Gempa pertama menyebabkan saya terhuyung-hayang dan gegaran kedua mengakibatkan rumah saya bergegar,” kata Ardylla Yuliacitra, 31.

USGS melaporkan gegaran susulan bermagnitud 5.4 dan 5.6 berlaku dalam tempoh beberapa minit selepas gempa pertama melanda.

Dalam pada itu, hotel-hotel memindahkan penghuni mereka, manakala kakitangan memeriksa pantai ekoran bimbang risiko tsunami.

“Kami menenangkan penghuni dan menyediakan air mineral serta tuala kepada mereka yang dipindahkan. 

“Selepas 15 hingga 20 minit kemudian apabila keadaan kembali  selamat, kami meminta penghuni kembali ke bilik masing-masing,” kata jurucakap hotel Artotel di Sanur, Nimas Ayu.

Pusat gempa terletak 181 kilometer ke timur laut Kepulauan Gili di perairan Lombok.

Indonesia kerap mengalami gempa kerana terletak dalam Lingkaran Api Pasifik yang merekodkan aktiviti seismik kuat. Lingkaran itu bermula dari Jepun hingga ke Asia Tengara di rantau Pasifik. 

Sumber: Kosmo