Rakyat Singapura Pening Wujud Tandas Neutral Jantina Sehingga Cetus Perdebatan

Foto : Stomp

SINGAPURA  – Kemudahan tandas neutral jantina di Pusat Konvensyen dan Pameran Suntec, Singapura mencetuskan perdebatan di internet sama ada simbol neutral jantina perlu digunakan, lapor portal berita Stomp semalam.

Papan tanda menunjuk ke arah tandas neutral itu berbunyi: “Bilik tandas ini boleh digunakan oleh mana-mana orang tanpa mengira identiti jantina atau ekspresi.”

Ia disertakan dengan simbol tandas neutral jantina dan juga terdapat lambang tandas orang kelainan upaya (OKU).

Berikutan itu, netizen meluahkan kekeliruan dalam komen mereka.

“Kenapa mereka tidak boleh memanggilnya tandas uniseks?”, tulis seorang netizen.

“Tandas OKU adalah neutral jantina,” tulis seorang netizen lagi.

Bagaimanapun, menjawab pertanyaan daripada portal berita AsiaOne, jurucakap Pusat Konvensyen dan Pameran Suntec Singapura mengesahkan bahawa terdapat tandas neutral jantina yang ditetapkan buat sementara waktu di aras 3 pusat konvensyen tersebut.

Tandas itu telah ditetapkan buat sementara waktu sebagai tandas neutral jantina atas permintaan penganjur Wikimania 2023 untuk tempoh acara yang berlangsung dari 16 Ogos hingga 19 Ogos lalu. – Agensi

Sumber : Kosmo