Demi Rakan Sepasukan Dapat Berbuka, Pemain Fiorentina Sanggup ‘Berlakon’ Cedera

Pemain tengah Fiorentina, Sofyan Amrabat dilihat sedang makan pisang dan minum air di tepi padang semasa masa kecederaan untuk berbuka puasa pada bulan Ramadan.

Bulan ini menyaksikan pemain bola sepak beragama Islam di seluruh dunia perlu berpuasa dari subuh sehingga matahari terbenam.

Inter Milan menjadi tuan rumah kepada Fiorentina, semalam di San Siro dengan sepak mula bermula jam 6 petang di Itali.

Sensasi Maghribi, Amrabat masuk dari bangku simpanan pada separuh masa kedua menggantikan Gaetano Castrovilli untuk Fiorentina, yang memperoleh kemenangan menakjubkan 1-0 pada perlawanan itu.

Dengan Fiorentina mempunyai kelebihan 1-0 pada masa kecederaan selepas mendahului menerusi gol Giacomo Bonaventura, Inter berusaha keras untuk mendapatkan gol penyamaan.

Harian Metro melaporkan, pada masa kecederaan, Amrabat dilihat berada di garisan tepi sambil memakan pisang serta minum air.

Peminat yakin bahawa pemain pertahanan Fiorentina, Luca Ranieri sengaja ‘membuang masa’ semasa masa kecederaan untuk memberi Amrabat masa yang mencukupi bagi berbuka puasa.

Rakaman video menyaksikan Ranieri sememangnya menerima rawatan perubatan, tetapi peminat percaya dia ‘memalsukan kecederaan’ itu ketika rakan sepasukannya di Fiorentina, Amrabat sempat memakan pisang dan minum air.

“Tabik hormat kepadanya,” kata seorang peminat memberi reaksi kepada tindakan itu.

Manakala seorang lagi peminat menambah: “Kawan membantu kawan.”

Sumber gambar dan laporan – Harian Metro