China tutup pengangkutan di Wuhan ketika kes virus baru meningkat

BEIJING/SHANGHAI: Kematian akibat virus baru seperti selesema di China meningkat kepada 17 orang semalam, dengan lebih 540 kes disahkan, mendorong bandar di tengah-tengah wabak itu menutup rangkaian pengangkutan dan menggesa warganya tidak meninggalkan bandar itu.

Baka koronavirus yang tidak pernah diketahui sebelum ini itu dipercayai muncul daripada haiwan liar yang didagangkan secara haram di pasar haiwan di Wuhan. Kes dikesan sejauh Amerika Syarikat.

Berbanding kerahsiaan sekitar Sindrom Pernafasan Akut Teruk (SARS) pada 2002-03, yang meragut hampir 800 nyawa, kerajaan komunis China kali ini memberikan perkembangan semasa secara kerap bagi mengelakkan panik, ketika jutaan orang melancong sempena Tahun Baru Cina.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) selepas bermesyuarat di Geneza semalam berkata hari ini ia akan memutuskan sama ada akan mengisytiharkan wabak itu sebagai kecemasan global, yang akan mengandakan respon di peringkat antarabangsa.

Jika ia berbuat demikian, ia akan menjadi kecemasan kesihatan awam antarabangsa ke-6 yang diisytiharkan sejak dekad lalu.