Polis siasat video TikTok dakwa anggota ambil rasuah RM200

POLIS sedang menjalankan siasatan berhubung video tular yang memaparkan anggotanya menerima rasuah daripada seorang lelaki dalam kejadian di Jalan Bagan Ajam, Butterworth.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Mohd Radzi Ahmad berkata, pihaknya tidak akan berkompromi dengan mana-mana pegawai atau anggotanya sekiranya terlibat dengan salah laku rasuah, lapor Sinar Harian.

“Telah tular satu video di aplikasi TikTok yang memaparkan anggota polis didakwa menerima rasuah daripada seorang lelaki.

“Kejadian itu dipercayai berlaku berhampiran sebuah bank di Jalan Bagan Ajam, Butterworth,” katanya kepada Sinar Harian.

Mohd Radzi turut mengesahkan pihaknya menerima laporan daripada seorang lelaki mengenai kejadian itu di Balai Polis Simpang Ampat, Seberang Perai Selatan pada Isnin lalu.

Berikutan itu katanya, polis kini sedang menjalankan siasatan mengikut Seksyen 384 Kanun Keseksaan kerana melakukan pemerasan.

Dalam video berdurasi 1.01 minit itu memaparkan seorang lelaki memegang wang kertas dipercayai RM200 dalam sebuah kereta sebelum dia turun menyerahkan wang itu kepada anggota polis yang sedang menunggu dalam sebuah kereta peronda.

Bagaimanapun tidak kelihatan dalam rakaman perbuatan lelaki itu menyerahkan wang tersebut.

Melalui semakan The News, akaun TikTok serta video tersebut juga sudah dipadam.

Sumber: Sinar Harian